Tuesday, August 20, 2013

Penyelewengan Akhlak Dalam Masyarakat Islam



Dewasa ini, isu-isu keruntuhan akhlak sering dipaparkan dalam media massa. Keruntuhan akhlak yang berlaku telah mengundang pelbagai salah laku jenayah seperti zina, rogol, minum arak, mencuri dan sebagainya. Sangat menyedihkan apabila kita dimaklumkan bahawa jenayah juvana semakin meningkat, ada di antara pelajar yang masih belum menamatkan pengajian telah pun menggugurkan anak luar nikah, gejala dadah yang semakin menjadi-jadi dan lain-lain berita yang amat mendukacitakan dan menghiris jiwa. Masalah sosial ini nampaknya semakin serius dari semasa ke semasa. 

Menangani masalah penyelewengan akhlak khususnya dalam masyarakat Islam merupakan perkara yang seharusnya diberi perhatian secara menyeluruh dan bersungguh-sungguh. Usaha perlu dilakukan agar masyarakat kita kembali menghayati dan mempraktikkan akhlak yang mulia dalam kehidupan seharian mereka. Semua pihak harus memainkan peranan masing-masing supaya gejala ini tidak berterusan berleluasa seterusnya merosakkan bangsa dan negara.


 DEFINISI

Penyelewengan
 


Menurut Kamus Dewan (1998), selewengbermaksud menyimpang dari arah yang betul.
Penyelewengan akhlak yang dimaksudkan juga meliputi penyimpangan akhlak seseorang apabila mereka melakukan perbuatan-perbuatan yang menyimpang daripada ajaran agama Islam dan budaya masyarakat Timur seperti terlibat dengan seks bebas, berkhalwat,bersekududukan, lari dari rumah, penagihan dadah dan minum minuman keras, melepak, lumba haram dan penglibatan individu dalam jenayah seperti mencuri, merompak, merogol, meliwat dan membunuh.

Akhlak

Akhlak dari segi bahasa didefinisikan sebagai moral, tabiat, perangai, budi, adab, sifat semulajadi, maruah, watak, amalan agama atau rupa batin seseorang.Akhlak berasal dari bahasa Arab iaitu 'khuluqun' yang bererti budi pekerti, perangai, tingkah laku atau tabiat.
Ibn Miskawaih, ahli falsafah Islam yang terkenal mentakrifkan akhlak itu sebagai “keadaan jiwa yang mendorong ke arah melahirkan perbuatan tanpa pemikiran penilitian.Imam Ghazali radiAllahu anhu mengatakan “akhlak ialah suatu keadaan yang tertanam di dalam jiwa yang menampilkan perbuatan-perbuatan dengan senang tanpa memerlukan pemikiran dan penelitian. Apabila perbuatan yang terkeluar itu baik dan terpuji menurut syara dan aqal, perbuatan itu dinamakan akhlak yang mulia. Sebaliknya, apabila terkeluar perbuatan yang buruk, ia dinamakan akhlak yang buruk.
Akhlak Menurut Islam

Islam mempunyai dua sumber iaitu Al-Quran dan As-Sunnah yang menjadi pegangan dalam menentukan segala urusan dunia dan akhirat. Kedua-dua sumber itu jugalah yang menjadi sumber akhlak Islamiyyah. Prinsip-prinsip dan kaedah ilmu akhlak Islam semuanya didasarkan kepada wahyu yang bersifat mutlak dan tepat neraca timbangannya. Apabila melihat perbahasan bidang akhlak Islamiyyah sebagai satu ilmu berdasarkan kepada dua sumber yang mutlak ini, dapatlah dirumuskan definisi akhlak seperti berikut: “Satu ilmu yang membahaskan tata nilai, hukum-hukum dan prinsip-prinsip tertentu bagi mengenalpasti sifat-sifat keutamaan untuk dihayati dan diamalkan dan mengenalpasti sifat-sifat tercela untuk dijauhi dengan tujuan membersihkan jiwa berasaskan wahyu Ilahi bagi mencapai keredhaan Allah (ridwaanullah).”

Secara keseluruhannya dapatlah kita rumuskan bahawa akhlak sebagai satu sifat atau sikap keperibadian yang melahirkan tingkah laku perbuatan manusia dalam usaha membentuk kehidupan yang sempurna berdasarkan kepada prinsip-prinsip yang telah ditetapkan oleh Allah.

GEJALA PENYELEWENGAN AKHLAK

Isu keruntuhan akhlak bukan lagi suatu yang asing untuk diperkatakan. Ia menular di segenap lapisan masyarakat, tidak kira tua atau muda, beragama Islam atau bukan Islam, lelaki atau perempuan, yang pasti ianya akan menjadi satu bencana yang amat dahsyat jika tidak dibendung dengan segera.Di antara gejala keruntuhan akhlak tersebut ialah perbuatan maksiat seperti khalwat, zina dan sumbang mahram, minum arak, penggunaan pil khayal, judi, pembuangan bayi, mat rempit dan penagihan dadah yang seperti tiada kesudahannya. Gejala keruntuhan akhlak ini akan dibincangkan  dengan lebih lanjut di dalam ulasan yang seterusnya.
Seks Bebas



Hubungan seks yang melibatkan pasangan yang tiada ikatan perkahwinan atau zina tergolong di dalam perbuatan keji yang melanggar hukum agama. Malah, islam memandang berat terhadap kesalahan zina kerana ianya bukan sahaja boleh mendatangkan mudarat kepada pelakunya malah kepada masyarakat.  Islam melarang keras zina mahupun seks bebas berdasarkan firman Allah yang bermaksud:
"Wahai orang-orang Islam, takutilah zina, maka padanya ada 6 perkara buruk, 3 di dunia dan 3 di akhirat. Adapun yang di dunia adalah: Hilang seri pada wajah, pendek umur dan sentiasa miskin... Adapun di akhirat, mendapat kemurkaan Allah SWT, buruk perkiraan di padang Mahsyar dan mendapat azab neraka"
Kita tidak boleh membenarkan masalah ini terus berleluasa. Semakin ramai pasangan berani melakukn aksi yang terlampau malah menjijikkan di kawasan umum. Mereka sudah berani bercumbu di taman-taman, di dalam kenderaan awam, di pawagam malah di mana-mana sahaja yang mereka kehendaki tanpa perasaan segan dan silu. Muda mudi kini juga semakin bebas bergaul tanpa menghiraukan teguran dan nasihat daripada pelbagai pihak termasuk ibu dan bapa mereka sendiri.

Pembuangan Bayi




Fenomena pembuangan bayi yang melanda menjadi semakin membimbangkan. Isu ini seolah-olah sudah menjadi trend atau ikutan di kalangan masyarakat, khususnya golongan remaja. Masalah pembuangan bayi bukanlah merupakan satu perkara yang baru berlaku di negara ini. Sejak  zaman Arab Jahiliyah lagi kita dapati gejala tidak beretika ini telah dilakukan khususnya terhadap bayi serta kanak-kanak perempuan  atas faktor keagamaan masyarakat pada masa itu. Khalifah Umar Al-Khattab juga pernah melakukannya semasa beliau masih belum menganut agama Islam. Akan tetapi, gejala pembuangan bayi pada masa kini begitu berbeza senarionya memandangkan pembuangan bayi ini dilakukan atas desakan hawa nafsu manusia itu sendiri yang terlibat dengan aktiviti penzinaan hasil daripada pergaulan bebas masyarakat pada hari ini. Perasaan malu, sedih, buntu setelah terlanjur dan mengandung anak di luar nikah, maka pengguguran serta pembuangan bayi menjadi jalan pintas untuk menutup segala keaiban yang telah dilakukan. 
Rasuah



Perkataan ‘rasuah’ berasal daripada perkataan Arab iaitu ‘I-risywah’. Di dalam Al-Quran, rasuah digolongkan dalam kata umum batil, iaitu meliputi juga perkataan jenayah lain seperti merompak, menipu dan memeras ugut. Dalam Al-Quran sendiri telah mendefinisikan perkataan rasuah ini adalah berkaitan dengan sesuatu yang tidak baik dan dilaknat.Secara amnya, rasuah merupakan satu tindakan pemerasan yang dilakukan oleh seseorang dengan tujuan untuk mendapatkan pertolongan dan faedah bagi kepentingan dirinya sendiri. Ini kerana apabila melalui prosedur-prosedur biasa, dia tidak akan memperolehi kehendaknya itu. Ini bermaksud, kuasa yang diberikan kepadanya akan disalahgunakan untuk kebaikan dirinya sendiri. Mereka juga akan lebih cenderung bersikap pilih kasih dan bermuka-muka dalam setiap tindakan bagi mengelak daripada perbuatannya diketahui umum.Dari segi undang-undang di Malaysia, segala perkataan yang membawa maksud kepada memberi dan menerima suapan adalah sebahagian daripada perbuatan dan kesalahan jenayah rasuah.  Masalah ini jika tidak dibendung dengan segera boleh mendatangkan mudarat kepada bangsa dan negara.

Penagihan Dadah



Ancaman penagihan dadah masih kekal sebagai musuh utama pada masa kini. Gejala penagihan dadah ini adalah antara gejala sosial yang semakin berleluasa dan melibatkan ramai pihak terutamanya golongan remaja.Dadah dapat diistilahkan sebagai sejenis bahan yang mendatangkan  kemudaratan kepada kesihatan seseorang dari segi rohani (mental), jasmani (fizikal) dan emosi serta tingkah laku pengguna apabila menggunakannya. Antara jenis dadah yang dikenalpasti ialah  heroin, morfin, ganja, kokain, kanabis dan sebagainya.
Bunuh Diri



Bunuh diri secara umumnya merujuk kepada perbuatan yang dilakukan oleh seseorang untuk melakukan sesuatu yang boleh menamatkan riwayat hidupnya. Sesungguhnya Allah SWT melarang manusia berbunuh-bunuhan sesama sendiri, apatah lagi membunuh diri sendiri. Ini menunjukkan betapa Allah SWT menghargai jiwa manusia. Hal ini ditegaskan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya:Yang bermaksud: 
“…Janganlah kamu sekalian berbunuh-bunuhan sesama sendiri.  Sesungguhnya Allah SWT sentiasa mengasihani kamu.”( S. An-Nisaa: 29).
Berdasarkan pengertian ayat tersebut, jelas menunjukkan bahawa perbuatan membunuh jiwa termasuk dalam dosa besar yang bakal menerima azab yang dahsyat. Ini sejajar dengan apa yang telah ditetapkan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya:Yang bermaksud: 

“Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal di dalamnya, dan Allah SWT murka kepadanya dan melaknatnya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.” (S. An-Nisaa: 93).

Dalam erti kata yang lain, sama ada berbunuh-bunuhan sesama sendiri atau membunuh diri sendiri adalah perbuatan mungkar yang menzalimi diri sendiri.  Maka, walau apa pun alasan dan cara seseorang itu membunuh diri adalah haram hukumnya, dan pelakunya akan kekal di dalam neraka.

FAKTOR-FAKTOR BERLAKUNYA PENYELEWENGAN AKHLAK


Perasaan Ingin Tahu dan Ingin Mencuba

Perasaan ingin tahu di kalangan manusia secara tidak langsung akan membuatkan mereka terdorong untuk mencuba dan melakukan perkara perkara yang tidak sepatutnya. Perasaan ingin tahu dan berani mencuba sesuatu yang baru adalah baik, namun apa yang menimbulkan masalah apabila mereka tiada ‘guide line’ dari orang-orang yang sepatutnya, khususnya para remaja daripada para ibu bapa, keluarga, jiran dan sebagainya. Jadi, perasaan ingin tahu mereka akan mendorong mereka melakukan apa yang ingin mereka lakukan tanpa memikirkan baik atau buruknya perkara tersebut. 
Pengaruh Rakan Sebaya

Kawan-kawan menjadi orang yang paling rapat. Kawan yang baik boleh membimbing kepada kebaikan, namun jika tersilap memilih kawan, akan mempengaruhi kepada perkara-perkara yang buruk. Selain itu, sikap remaja turut menyumbang kepada gejala sosial, kadangkala mereka ini terlalu mudah mempercayai orang lain. Umpamanya, jika mereka merasakan rakan-rakan mereka lebih rapat dan lebih memahami, dengan mudah mereka akan mengikut apa yang dilakukan oleh rakan-rakan mereka. Pada usia yang masih mentah mereka lupa bahawa “kawan juga kadangkala boleh makan kawan”.

Pengaruh Media Massa

Media massa juga menjadi penyumbang kepada berlakunya penyelewengan akhlak dalam masyarakat pada hari ini. Tidak semua yang dipaparkan di media massa itu memberikan kesan yang buruk. Namun, ada segelintir program-program dan drama-drama yang memaparkan pergaulan bebas di kalangan remaja, program-program realiti televisyen, serta rancangan-rancangan yang bersifat hiburan semata-mata mempengaruhi masyarakat dengan perkara yang kurang baik. Umpamanya corak pergaulan yang jauh dari nilai-nilai ketimuran, cara berpakaian yang kurang sopan dan gaya hidup yang mengikut cara budaya Barat. Terdapat juga unsur-unsur lucah dan mengghairahkan yang boleh didapati dengan mudah di pasaran sama ada dalam bentuk bercetak, CD, atau lain-lain.Tambahan pula, di zaman dunia tanpa batasan ini segala informasi boleh didapati dengan mudah hanya dengan melayari internet. Tidak dinafikan internet ini ada kebaikannya tetapi tidak kurang juga banyak keburukannya. Aktiviti penggunaannya tanpa pemantauan boleh mengundang padah.
Sikap Keluarga

Dalam hal ini keluarga juga ada kalanya menjadi pendorong bertambahnya keruntuhan akhlak di kalangan masyarakat khususnya remaja. Walaupun tidak berlaku kepada semua keluarga, tetapi keluarga yang mengamalkan sikap terlalu mengongkong atau terlalu memberikan kebebasan kepada para remaja boleh menjadi penyumpang kepada wujudnya masalah ini. Mereka menjadi ahli keluarga yang hanya hidup tetapi tidak dipedulikan dan tidak diberi input kerohanian, kesedaran, nilai-nilai mulia dan keagamaan yang cukup. Tanpa panduan, belum tentu mereka dapat melalui kehidupan ini dengan sebaik mungkin seterusnya mengakibatkan mereka mudah terjerumus ke arah pelbagai keruntuhan akhlak.
Kurang Didikan Agama

Iman dan takwa yang jitu itu adalah pengikat yang berfungsi bagi menghalang seseorang daripada melakukan tingkah laku yang berlaku di luar batasan syarak. Pendidikan agama mempunyai fungsi yang sangat penting sebagai pelindung diri daripada terjerumus kepada pelbagai gejala keruntuhan akhlak. Ibu bapa sewajarnya memberikan didikan agama yang sepenuhnya kepada anak-anak mereka sejak mereka masih kecil. Ini bagi memberikan anak-anak mereka pengetahuan yang jelas tentang hal-hal berkaitan agama, tentang halal dan haram. Bak kata pepatah melayu, “melentur buluh biarlah dari rebungnya..”, maksudnya mendidik anak biarlah sejak mereka kecil lagi.
Ekonomi

Ekonomi juga merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada keruntuhan akhlak. Manusia pada hari ini adalah manusia yang terlalu mengejar kebendaan di dalam arus kepesatan ekonomi sehingga melupakan tanggungjawab-tanggungjawabnya yang lain. Tangungjawab yang dimaksudkan adalah tanggungjawab kepada Allah, tanggungjawab kepada keluarga, tanggungjawab kepada alam semesta dan tanggungjawab kepada diri sendiri. Disebabkan faktor inilah terjadinya masalah pengabaian kasih saying kepada anak, kepada ibu bapa, dan kepada masyarakat. Anak yang terabai akan lebih mudah terjebak kepada pelbagai masalah keruntuhan akhlak seperti penyalahgunaan dadah, minum arak, zina, merompak, berjudi, lumba haram dan lain-lain lagi.

KESAN-KESAN PENYELEWANGAN AKHLAK

Penyelewengan akhlak pada masa kini akan mendatangkan impak yang sangat besar kepada masyarakat. Akhlak merupakan peribadi dan cermin diri bagi seseorang individu. Sekiranya individu tersebut mempunyai akhlak yang buruk, secara otomatik peribadi individu itu juga turut terjejas. Individu yang mempunyai akhlak yang buruk boleh memberi kesan kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara.
Kesan Kepada Individu


  • Individu yang mempunyai akhlak yang baik akan  dipandang mulia dan tinggi, manakala individu yang tidak mempunyai akhlak yang baik akan dipandang serong dan dicemuh oleh masyarakat sekeliling. 
  •  Memalukan agama, bangsa dan negara. 
  •  Keruntuhan akhlak akan memberikan kesan yang mendalam pada diri individu.
Kesan Kepada Keluarga

• Keruntuhan institusi kekeluargaan akan berlaku. Akhlak yang baik datangnya daripada keluarga yang harmoni dan bahagia. 
• Akibat wujudnya ketidakharmonian dalam keluarga, mungkin akan mendorong kepada wujudnya penceraian.  
• Masa depan anak-anak akan terbiar dan tidak terpelihara. Anak – anak akan hilang tempat bergantung dan bermanja. 
• Wujudnya masalah-masalah sosial yang lain seperti budaya lepak, ketagihan dadah, pelacuran, perjudian, hubungan sesama jenis dan lain-lain lagi.
Kesan Kepada Masyarakat


  • Budaya kuning dan pengaruh budaya Barat mudah meresap masuk dan menjadi ikutan masyarakat pada hari ini.  
  • Masyarakat akan hancur dan akhlak remaja–remaja Islam terutamanya akan rosak dan binasa. 
  • Pihak–pihak atau anasir luar akan cuba mengambil kesempatan  di atas kelemahan bangsa kita .
  • Masyarakat di negara ini akan menjadi porak-peranda, berpecah-belah dan tidak bersatu-padu. 
  • Perasaan buruk dan prasangka pasti akan wujud dalam masyarakat. Sifat saling curiga-mencurigai akan bertakhta di hati masyarakat. 
  • Wujudnya pergaduhan dalam masyarakat. Isu-isu perkauman akan wujud seandainya pergaduhan ini melibatkan antara dua kaum. 
  • Kadar jenayah di kalangan masyarakat juga akan turut meningkat. 
  • Keharmonian dalam masyarakat sukar untuk diwujudkan.
Kesan Kepada Negara

  •  Negara akan kehilangan generasi dan kepimpinan pada masa hadapan. 
  •  Kerancakan pembangunan negara akan terbantut dan keadaan ekonomi negara juga  sukar untuk berkembang kerana wujudnya gejala sosial dan keruntuhan akhlak yang  tinggi di kalangan masyarakat.
  •  Kadar jenayah dalam negara juga akan meningkat sejajar dengan peningkatan gejala  sosial dan keruntuhan akhlak. 
  •  Perbelanjaan kerajaan juga akan turut meningkat akibat berlakunya peningkatan  kadar jenayah.
  •  Anasir-anasir luar akan mudah meresap masuk ke dalam negara seandainya generasi  pada hari ini tidak tahu menjaga akhlak mereka. 
  •  Sekiranya akhlak remaja pada hari ini terutamanya akhlak remaja Islam hancur dan  rosak, maka bangsa lain akan memandang serong terhadap agama yang kita anuti.



LANGKAH-LANGKAH MENGATASI KERUNTUHAN AKHLAK MASA KINI

Menangani masalah keruntuhan akhlak merupakan perkara yang seharusnya diberi perhatian secara bersungguh-sungguh. Usaha perlu dilakukan agar masyarakat kita kembali menghayati dan mempraktikkan akhlak yang mulia dalam kehidupan seharian mereka. Semua pihak bertanggungjawab untuk kembali kepada Islam dan mencari penyelesaiannya kerana setiap orang akan dipersoalkan oleh Allah di Akhirat kelak.

Peranan Individu


  •  Mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui perbanyakkan solat, berzikir dan membaca Al-Quran. Dengan cara ini individu akan merasa rendah diri dan menimbulkan keinsafan dalam diri individu tersebut. 
  • Berkongsi masalah dengan keluarga, rakan-rakan dan pihak kaunseling. Dengan cara ini mungkin dapat meringankan masalah atau beban yang mereka alami. 
  • Menetapkan target atau membina azam untuk mencapai kehidupan yang lebih berkualiti. 
  • Amalan cara hidup yang sihat juga dapat menghindari diri daripada terjebak kepada gejala keruntuhan akhlak.  

Peranan Keluarga


  • Ibu bapa perlu menjadi contoh yang baik kepada anak-anak mereka. 
  • Didikan agama yang sempurna bagi mengelakkan mereka terjebak kepada gejala-gejala negatif seperti pengaruh black metal, punk, penyalahgunaan dadah, pembuangan bayi dan lain-lain lagi.Ibu bapa berperanan untuk membentuk generasi muda sekarang supaya mereka tidak terjebak kepada gejala negatif. 
  • Ibu bapa perlu menerapkan nilai-nilai murni dan etika untuk menguruskan masa dengan baik. Mereka harus memberikan perangsang dan galakan yang berterusan kepada anak-anak untuk berjaya.
  • Ibu bapa perlu meluangkan banyak masa untuk anak-anak supaya mereka rasa diambil berat dan disayangi di samping dapat merasai indahnya nikmat berkeluarga. 

Peranan Masyarakat

  • Masyarakat tidak bersikap sambil lewa dan tidak ambil peduli dengan membiarkan pihak yang terlibat terus terumbang-ambing sebaliknya berusaha untuk menangani masalah ini. 
  • Bantuan yang perlu dihulurkan bukan setakat berbentuk material, tetapi lebih kepada spiritual dengan memberi semangat dan tunjuk ajar yang terbaik bagi mereka yang bermasalah.

Institusi Pendidikan

  • Menyemaikan nilai-nilai murni dan mendorong penghayatan kepada semangat Islam dalam erti kata yang sebenar. Maka, sebagai langkah pertama, wajar dimulakan dengan 
  • Contoh dan teladan yang baik di kalangan para pemimpin masyarakat di negara kita.


KESIMPULAN

Penyelewengan akhlak masa kini semakin membimbangkan, terutamanya apabila ianya banyak melanda muda-mudi yang bakal menjadi pewaris dan harapan bangsa pada masa hadapan yang boleh merencatkan kecemerlangan negara. Malahan, jika masalah ini tidak ditangani dengan segera dan bijaksana beserta perancangan yang teliti pastinya akan mengancam keselamatan negara dan agama kita sendiri kerana elemen-elemen keruntuhan akhlak ini boleh menjerumuskan seseorang itu ke lembah kehancuran. Kecemerlangan yang dilaungkan dan digembar-gemburkan ketika ini tidak memberi apa-apa makna sekiranya akhlak rakyat tidak seiring dengan agenda untuk mencemerlangkan bangsa, agama dan negara.